Risto Vidakovic. Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Melaka United FC (MUFC) menamatkan kontrak Risto Vidakovic sekali gus muncul jurulatih pertama Liga Super dipecat musim ini.

Beliau menjelaskan penamatan kontrak jurulatih berusia 53 tahun itu dibuat susulan prestasi pasukan yang hanya mengutip satu mata selepas empat perlawanan liga.

Katanya, langkah penamatan kontrak itu adalah hasil daripada persetujuan kedua-dua pihak dan penolong ketua jurulatih, Mohd Asri Ninggal diberi tugas bagi melatih pasukan sebelum melantik ketua jurulatih baharu.

“Pasukan akan dibimbing Mohd Asri buat sementara waktu sehinggalah pengganti Vidakovic kita umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Melaka United tewas 0-1 pada aksi pembukaan di tangan PJ City, sebelum mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan Penang FC dan kemudian kalah dalam dua perlawanan berdepan Sabah dan KL City.

Susulan kekalahan itu, Vidakovic mendedahkan puncanya disebabkan pemain berdepan isu tunggakan gaji tiga bulan. – MalaysiaGazette