Mahasiswa yang hadir pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Golongan mahasiswa menyambut baik langkah kerajaan yang memperkenalkan program ePemula kerana ia mampu membantu meringankan beban kewangan mereka.

Rata-rata mahasiswa yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, mereka sangat berterima kasih kepada kerajaan yang sangat memahami masalah golongan pelajar di kampus.

Mereka berpendapat, usaha kerajaan itu dilihat sebagai satu langkah prihatin dan cakna terhadap nasib rakyat terutama pelajar yang tergolong dalam kategori B40.

Seorang penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Khusairi Mohd Kassim, 37, berkata, ePemula sangat bermanfaat kepadanya sebagai seorang pelajar.

Katanya, meskipun beliau merupakan seorang mahasiswa yang bercuti daripada tugas sebagai penjawat awam dan memiliki gaji, bantuan sebagaimanapun bantuan yang diterimanya sangat besar maknanya.

Muhammad Khusairi Mohd Kasim

“Memang kalau nak diikut RM150 itu tidak sebesar mana…tapi, buat masa ini sebagai seorang yang bergelar pelajar ia sangat bermanfaat.

Pandangan sama turut diberikan Berady Chua Chen Wee, 20, mahasiswa Universiti Multimedia (MMU), yang merasakan apa sahaja bantuan yang diterima ketika menjadi pelajar adalah sangat berharga.

Dia yakin perkara sama pasti dirasai rakan-rakannya yang lain tidak kira apa sahaja latar belakang keluarga mereka.

“Memang saya gembira dapat bantuan ini dan kalau boleh biarlah berpanjangan.

Berady Chua Chen Wee

“Saya tahu ini semua bergantung kepada bajet kerajaan tetapi saya yakin ia boleh diteruskan,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Unversiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Aina Sofea Mohd Kamal memberitahu, dia melihat banyak manfaat daripada progran yang membantu mahasiswa dalam berbelanja secara norma baharu.

Menurutnya, penerima bantuan itu tidak perlu membawa wang secara fizikal untuk membeli sesuatu sebaliknya menggunakan kaedah online sesuai dengan perkembangan semasa.

Kata Nurul Aina, bantuan yang diterima itu akan dimanfaatkan untuk membayar khidmat pengangkutan ekoran dia tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Nurul Aina Sofea Mohd Kamal

“Saya berharap pada masa akan datang kerajaan boleh meneruskan program ini kepada pelajar. Cuma biarlah ia dapat dipermudahkan lagi penggunaannya seperti boleh digunakan untuk pembelian secara online dan bukan sekadar offline di tempat-tempat tertentu,” katanya yang merupakan pelajar jurusan komunikasi. – MalaysiaGazette