Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mengeluarkan kenyataan yang tegas kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai tindakan mengecam sekeras-keras tindakan tentera penjajah zionis menyerbu masuk Masjid Qibli di Al- Aqsa As Syarif kelmarin.

Menerusi kenyataan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, umat ​​Islam perlu bangkit membantah dan mengutuk serangan zionis yang telah mencemar kesucian Ramadan.

Tegasnya, perkara itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindak balas kerana ia boleh berlaku lagi selepas ini.

“Kami menyeru agar OIC bertindak segera…negara-negara Islam mesti bertindak balas untuk melindungi Masjid dan jemaah didalamnya.

“Serangan itu dilancarkan di tengah-tengah serbuan, pembunuhan dan penangkapan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki di Jenin dan Ramallah oleh operasi zionis.

“Menurut laporan, peningkatan serangan telah dirancang lebih awal dengan alasan operasi memerangi keganasan,” katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi, tindak balas yang tegas daripada semua pemimpin Islam, OIC dan Pertubuhan Negara-Negara Bersatu (PBB) untuk menekan Israel supaya mengundurkan semua tenteranya dari Al Aqsa perlu dilakukan dengan segera.

Justeru, kenyataan yang lantang perlu dikeluarkan segera agar musuh Islam tidak sewenang-wenangnya membuli dengan sesuka hati. – MalaysiaGazette