KUALA LUMPUR – Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) memberikan petrol percuma jenis RON 95 kepada penunggang p-hailing serta barisan petugas barisan hadapan hari ini.

Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, program yang dianjurkan selama dua jam bermula pukul 2 petang itu sebagai menghargai pengorbanan mereka.

Tambahnya, dalam program kali ke empat kali ini, pihaknya menyasarkan antara 400 hingga 500 motosikal yang dinaiki dua kumpulan sasar itu seperti tahun sebelumnya.

Mohd Irwan berkata, pihaknya juga berhasrat untuk mengadakan pemberian petrol percuma kali kelima dalam masa terdekat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia adalah juga bagi menghargai pengorbanan mereka yang mungkin ramai tidak nampak akan kesusahan mereka sekali gus menunjukkan bahawa kita tidak pernah melupakan jasa kumpulan terbabit,” katanya.

Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberikan petrol percuma kepada penunggang motosikal terbabit di Stesen Minyak Petron Sri Rampai di sini hari ini.

Turut hadir, pelakon, Puteri Sarah Liyana selain wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Inisiatif pemberian petrol ini sudah kita laksanakan sebelum ini namun ia dihentikan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Bagi pemberian petrol kali kelima nanti, kami berhasrat untuk memberi bantuan itu tidak hanya kepada penunggang e-hailing tetapi kepada semua penunggang motosikal yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette