Enggan membayar tambang sebanyak RM400, remaja perempuan berumur 16 tahun  mengelar pemandu Grab menggunakan pisau lipat baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Enggan membayar tambang sebanyak RM400, remaja perempuan berumur 16 tahun  mengelar leher pemandu menggunakan pisau lipat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng  Lai berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.55 pagi selepas pemandu berusia 63 tahun menghantar suspek ke Jalan Kovil Hilir Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dari Sagil Tangkak, Johor pada Rabu lalu.

Bagaimanapun katanya, suspek enggan membayar tambang selepas tiba di destinasi.

Pemandu Grab berkenaan kemudian membuat keputusan membawa suspek ke balai polis, sekali gus membawa kejadian dikelar pada lehernya. 

“Oleh kerana takut, suspek telah bertindak mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan kemudiannya melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa  kemudian  memandu ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan untuk mendapatkan rawatan.

Eng Lai berkata, suspek didapati meninggalkan pisau lipat yang digunakan untuk mengelar di dalam kereta mangsa.

Selepas melakukan risikan, polis berjaya menangkap remaja berkenaan di sebuah premis perniagaan di hadapan Maybank Jinjang, Kuala Lumpur pukul 4.55 pagi tadi.

“Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

Ujarnya lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette