KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon agar kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum RM1,800 untuk seluruh penjawat awam di negara ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu antara tiga perkara utama yang telah diberikan fokus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS bulanan yang diadakan bermula pagi tadi.
Cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada pertemuan dalam masa terdekat ini, mengambil faktor kos kehidupan yang semakin mencabar dengan kenaikan harga barang.
“Kami kurang selesa dengan dapatan gaji sekarang, tetapi jauh lebih teruk perbelanjaan kami juga tak adil dengan situasi semasa.
“Justeru, kami akan cadangkan kenaikan gaji minimum penjawat awam semasa sebanyak RM1,200 dinaikkan kepada RM1,800,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Iftar Ramadan CUEPACS di sebuah hotel di ibu negara.
Tambah beliau, cadangan berkenaan sudah disuarakan pihaknya berkali-kali.
Adnan berkata, walaupun kerajaan sudah meluluskan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk syarikat milik kerajaan (GLC) sahaja, namun penjawat awam memerlukan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.
Menurutnya, sekiranya penjawat awam berjaya menuntut gaji minimum itu, sudah pasti akan berlaku sedikit tangga gaji yang agak rapat dengan ‘junior dan senior’ (penjawat baharu dan penjawat berpengalaman), lantaran itu CUEPACS memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam sebagai gantian kepada sistem saraan baharu yang masih dikaji dan belum diwujudkan kerajaan.
“Perkara ketiga yang akan dituntut ialah kami juga mahu sistem saraan ini perlu dilaksanakan serta-merta kerana sudah 20 tahun tiada kenaikan gaji minimum di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunapakai sejak tahun 2002.
“SSM ini perlu diganti agar lebih komprehensif dan mampu membantu kami berada dalam keadaan sedikit selesa dan pada masa yang sama menjamin perbelanjaan yang lebih adil,” ujarnya.
Dalam satu lagi perkembangan lain, Adnan merakamkan penghargaan kepada perdana menteri dan juga semua ketua menteri dan menteri besar yang mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri kepada penjawat awam peringkat pusat dan negeri. – MalaysiaGazette