Keadaan sungai di sebuah kawasan di Pulau Pinang yang tercemar akibat pembuangan sisa dari kandang babi.

GEORGE TOWN – Sebilangan operasi ladang ternakan babi di negeri ini sememangnya tidak mengikut piawaian serta syarat yang telah ditetapkan hingga menyebabkan pencemaran.

Sahabat Alam Sekitar (SAM) mendakwa, terdapat dalam kalangan pengusaha ladang babi dengan sewenang-wenangnya melepaskan sisa kumbahan yang tidak terawat ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau yang sangat tidak menyenangkan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, masalah seperti ini jelas berlaku di beberapa buah kawasan antaranya Kampung Selamat; Gertak Sanggul; Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi.

Ia menyebabkan pencemaran parit; sungai, laut serta persekitaran kawasan, operasi ladang babi yang melanggar peraturan telah menyebabkan kacau ganggu pada penduduk dan orang awam.

Oleh itu, SAM menyambut baik ketegaskan yang ditunjukkan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap pengusaha ladang babi yang gagal mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan sumber air.

Ia susulan bermula Januari tahun ini, kerajaan negeri dilaporkan akan menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen.

Meenakshi berkata, langkah menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen dilihat paling berkesan bagi menyelesaikan masalah pencemaran berpunca daripada ladang babi.

Jelas beliau, kenyataan yang dikeluarkan Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin pada 11 April lalu bahawa  ramai pengusaha ladang tidak ambil peduli tentang syarat pengurusan sisa kumbahan sedangkan kita memerlukan sungai yang bersih sekiranya bergantung kepada sumber air adalah berasas.

“Kita amat menyokong langkah ini kerana selain menyebabkan pencemaran parit; sungai, laut serta persekitaran kawasan, operasi ladang babi yang melanggar peraturan telah menyebabkan kacau ganggu pada penduduk dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, seperti satu kes yang tular baru-baru ini membabitkan pencemaran air dan bau busuk yang didakwa berpunca daripada ladang babi di Gertak Sanggul, yang mana pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memberi maklum balas terhadap perkara ini temasuk meminta pihak berkuasa negeri meneliti dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sehubungan itu, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan antaranya Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar bertindak tegas terhadap penternak babi yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette