Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan dasar-dasar yang sesuai untuk mengatasi masalah penagihan dadah serta lumba haram dalam kalangan belia.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan harus memandangkan serius isu tersebut agar golongan belia yang bakal menjadi masa depan negara terhindar daripada masalah sosial sedemikian.

Jelas beliau, menurut angka yang dilaporkan, penagihan dadah dalam kalangan belia dan lumba haram semakin meningkat iaitu sebanyak 78 peratus.

“Isu masalah sosial yang dilihat melonjak tinggi kini jelas menunjukkan bahawa setiap warga negara mesti bersatu padu dalam memastikan kehidupan kemasyarakatan kita lebih baik.

“Ia juga harus dilihat sebagai satu masalah sosial yang mampu musnahkan keharmonian keluarga dan negara bukannya isu perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Tong Keong menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cara menangani masalah itu daripada terus menjadi barah untuk masa depan negara.

“Kerjasama antara jabatan kerajaan juga perlu ditekankan agar masalah sosial membabitkan beliau dapatkan diselesaikan segera,” ujar beliau. – MalaysiaGazette