Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerahkan sumbangan pembukaan akaun SSPN kepada penerima yang layak pada Program Jelajah Simpan Skim Simpanan Perbadanan Nasional (SSPN) di Masjid Jame'al Shahab Kepala Batas, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik setiap kali tibanya bulan Ramadan dan Syawal.

Bagi menyemarakkan sambutan bulan suci Islam ini, ia menganjurkan program PTPTN Prihatin: Ramadan dan Syawal Bersama PTPTN Tahun 2022.

Antara program yang dijalankan termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Bersama Pelajar IPT/ Politeknik yang merupakan acara tahunan melibatkan 14 buah institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bermula 15 April hingga 24 April.

Sebanyak 700 hingga 1,500 bekas bubur lambuk disediakan di setiap IPT dan politeknik dengan jumlah keseluruhan melibatkan penyediaan lebih 12,000 bekas.

Program IMRAN di Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan pada 15 April melibatkan aktiviti menyedia dan mengagihkan bubur lambuk secara gotong-royong bersama kakitangan PTPTN, IPT, Majlis Perwakilan Pelajar, mahasiswa dan masyarakat setempat.

PTPTN menyediakan bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong bersama warga Universiti Utara Malaysia. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 APRIL 2022.

Program gotong-royong itu turut disertai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Huzaidy Hussain  dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program tersebut memberi banyak manfaat kepada para pelajar dan masyarakat.

“Inilah bukti PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin membantu golongan pelajar yang begitu dekat dengan PTPTN serta masyarakat dalam apa sahaja keadaan.

“Program ini juga diharap dapat mengubah persepsi terhadap peranan dan fungsi PTPTN yang bukan hanya memberikan pinjaman dan mengutip hutang semata-mata, sebaliknya meningkatkan imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat menerusi program CSR,” katanya.

Dalam program yang dijalankan itu, PTPTN turut memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM300,000 untuk membantu 3,000 pelajar asnaf di 30 kawasan terpilih melalui program Jelajah Simpan SSPN di beberapa negeri.

Program Jelajah Simpan SSPN 2022 pada 15 April telah diadakan di Masjid Jame’al Shahab, Kepala Batas Jitra, Kedah melibatkan seramai 100 orang pelajar asnaf dengan peruntukan RM10,000.

Setiap pelajar akan menerima RM100 yang akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengagihkan bubur lambuk kepada mahasiswa ketika menghadiri ke Program Imarah Ramada (PTPTN di Pusat Islam Universiti Utara Malaysia. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 APRIL 2022.

Sumbangan dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime itu bertujuan membantu pelajar asnaf terlibat dari sudut pendidikan serta sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

”Tabungan melalui Simpan SSPN turut memberikan dividen yang kompetitif dan bagi tahun 2021 dividen yang diberikan adalah sebanyak 3.0%.

“Kerajaan juga memberikan pelepasan taksiran cukai melalui penabungan Simpan SSPN iaitu sebanyak RM8,000 setahun ke atas simpanan bersih tahun semasa.

“Perlindungan takaful turut diberikan, bermaksud sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada ibu atau bapa, masa depan anak-anak untuk melanjutnya pengajian masih terjamin kerana simpanan ini menyediakan perlindungan takaful percuma berdasarkan jumlah simpanan untuk Simpan SSPN Prime,” kata Wan Saiful.

Pada masjlis tersebut Skuad PTPTN Prihatin turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada 30 orang golongan asnaf.

Setiap keluarga menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian.

PTPTN juga menjalankan program lain termasuk Program Sempurnakan Raya Special PTPTN x Mingguan Wanita, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim, Program Ihya Ramadan PTPTN 2022, Program Jelajah Simpan SSPN 2022 dan Bantuan Kewangan Pengajian Kepada Anak Yatim (Asnaf) Yang Kehilangan Ibu Bapa Akibat Covid-19. – MalaysiaGazette