Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menggunakan semua saluran antarabangsa untuk memberi tekanan diplomatik terhadap Israel sebagai usaha menghentikan penjajahannya ke atas Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selain itu kerajaan perlu mewujudkan dasar boikot ke atas Israel dalam sebarang penglibatan secara langsung atau tidak langsung dengan negara tersebut yang sememangnya tidak diiktiraf.

Katanya, perkara lain yang turut perlu dilakukan adalah mengesyorkan supaya diadakan mesyuarat dengan Pertubuhan Negara-Negara Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk melancarkan tekanan antarabangsa ke atas Israel mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kerajan perlu juga supaya mendedikasikan teks khutbah khas dalam solat Jumaat tentang kepentingan mempertahankan masjid Al Aqsa dan peranan semua umat Islam.

“Kami juga minta kaukus Parlimen Malaysia di Palestin untuk bersidang dan mencadangkan satu kenyataan dan inisiatif Malaysia mengenai pencabulan ke atas Al-Aqsa oleh zionis Israel,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi berkata, telah jelas bahawa zionis merancang pencerobohan yang agresif dan serangan semasa mungkin akan meningkat kepada pertembungan.

Katanya, perkara itu boleh dilihat dalam peristiwa pada Jumaat lepas apabila zionis sekali lagi mempamerkan gambaran tentang kekerasan yang digunakan terhadap rakyat Palestin di Al Aqsa.

“Kami di Malaysia daripada komuniti pelbagai agama menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan baru-baru ini.

“Kami menyokong Jawatankuasa Islam-Kristian untuk perpaduan Baitulmaqdis dan Tempat Sucinya untuk menyeru rakyat Palestin di mana-mana untuk berarak ke Masjid Al-Aqsa pada hari Jumaat dan untuk menangkis sebarang percubaan oleh peneroka pelampau Israel untuk menyerbu masjid dan melaksanakan rancangan agresif mereka untuk mencemarkan dan melanggar kesuciannya,” ujarnya.

Mohd Azmi menambah, bahawa rakyat Palestin dari semua agama mempunyai hak untuk mempertahankan tempat ibadat mereka yang suci daripada semua pencerobohan dan akibatnya akan ditanggung oleh Zionis Israel.

Katanya, MAPIM juga mengecam kempen pembunuhan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel di Tebing Barat dan serangan ke atas Al Aqsa adalah sebahagian daripada rancangan untuk menduduki Baitulmaqdis Timur.

“Kami yakin peningkatan kejam dan keganasan itu sebenarnya akan menguatkan keazaman rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah dan tempat perlindungan mereka.

“Kami juga mengesahkan bahawa pasukan zionis telah melakukan jenayah perang seperti pembunuhan di luar undang-undang, penindasan, penderaan, penangkapan dan mencemarkan tapak suci Masjid Al Aqsa,” katanya. – MalaysiaGazette