Abdul Rashid Zainal Arifin visit his parents’ grave at the Raudhatul Sakinah Muslim Cemetery in Selangor. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 15 APRIL 2022.
Abdul Rashid Zainal Arifin visit his parents’ grave at the Raudhatul Sakinah Muslim Cemetery in Selangor. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 15 APRIL 2022. Abdul Rashid Zainal Arifin menziarah tanah perkuburan mak dan ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 15 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kehilangan ibu bapa pada usia muda bukan mudah diterima apatah lagi menjadi anak tunggal.

Itulah yang dirasai oleh seorang remaja, Abdul Rashid Zainal Ariffin, 15.

Rasa sedih dan sakit kehilangan insan tersayang sukar diungkapkan oleh anak ini kecuali dizahirkan dengan linangan airmata.

Meskipun sudah menginjak usia 15 tahun namun kehilangan mak dan ayah akibat Covid-19 amat memilukan apatah lagi hidup sebatang kara di Kuala Lumpur.

Saudara-mara pula jauh di mata.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohammed Hassan menyerahkan sumbangan anak yatim piatu , Abdul Rashid Zainal Arifin pada Ziarah Ramadan PPZ MAIWP 2022 di Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 APRIL 2022.

”Kak Mia.. Rashid rindu mak,” itulah luahan sendu Rashid dapat didengari ketika wartawan MalaysiaGazette menyertai kunjungan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di rumah jirannya di Kampung Datuk Keramat, dekat sini.

Ditemani jirannya, Siti Salmiah yang disapa Kak Mia oleh Rashid – anak ini kelihatan rapat dengannya.

Salmiah dan keluarganya tinggal bersebelahan rumah Rashid kini menjadi tempat anak itu menumpang kasih selepas bapanya Zainal Ariffin Abdul Rahman, 42, dan maknya, Sapiah, 47, meninggal dunia tahun lalu.

Allahyarhamah Sapiah meninggal dunia pada 25 Julai selepas dua hari ditidurkan di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala suaminya Allahyarham Zainal pada 2 Ogos lalu, setelah dua minggu ditidurkan.

Bukan mudah membuka mulut untuk meluahkan apa yang terbuku dihatinya, pertemuan itu menyaksikan Rashid lebih banyak mendiamkan diri.

Abdul Rashid Zainal Arifin

Namun, anak manja ini tidak mampu berselindung hatinya masih rapuh sejak kehilangan ibu dan bapanya.

”Sedih bila mula-mula dapat tahu emak dan ayah dah takda, pada mulanya memang tak boleh nak percaya langsung…banyak kali fikir betul ke dah tiada,”

”Ada beberapa kali masa bangun pagi terasa macam mereka (ibu bapanya) masih ada lagi. Susah sikitlah hidup tanpa mak dan ayah.. lagi-lagi kalau nak bangun pagi.., dulu kalau demam pun, mak selalu ada,” katanya dengan suara yang perlahan sambil menahan tangisan.

Sambil memandang wartawan MalaysiaGazette, Rashid akui hatinya cukup pilu mengenangkan Ramadan dan Syawal tanpa kedua orang tuannya.

Bisiknya lagi: “Rashid betul-betul sedih tak dapat raya dengan mak tahun ini, sebab memang tak pernah lagi beraya seorang diri,” katanya sambil tunduk.

Abdul Rashid Zainal Arifin menyiram pusara emaknya ketika dibawa oleh wakil MAIWP yang melakukan Ziarah Ramadan PPZ MAIWP 2022 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 15 APRIL 2022.

Salmiah memberitahu, buat masa ini, keluarganya yang menjaga Rashid kerana anak itu enggan tinggal bersama bapa saudaranya di Kedah kerana hubungan mereka lebih rapat.

Dengan bantuan keluarga Salmiah, Rashid yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga dihantar ke sekolah di SMK Padang Tembak setiap pagi.

Dalam kunjungan itu, Rashid yang diziarahi oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Mohammed Hassan dibawa buat kali pertama menziarahi pusara mak dan bapanya di Tanah Perkuburan Islam Rhaudatus Sakinah, Gombak.

Sepasang matanya merah tatkala memandang tepat pada pusara putih itu. Dalam keadaan kelu, dia duduk memandang sekitar pusara maknya.

Rashid kemudian bersama-sama kakitangan MAIWP membaca surah Yaasin dan mengirim doa buat mak kesayangannya.

“Rasa puas dapat jumpa, lepaskan rindu.. walaupun setakat dapat nampak kubur sahaja,” katanya sambil tunduk.

Abdul Rashid Zainal Arifin bersama-sama kakitangan MAIWP membaca doa di pusara maknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 15 APRIL 2022.

Salmiah berkata, keluarganya tidak sanggup membiarkan Rashid hidup berseorangan, lantas mengambilnya sebagai anak angkat.

Walaupun Rashid bersama mereka namun sejak kebelakangan ini, Rashid kerap  meluahkan kerinduan terhadap ibu bapanya di status WhatsAppnya.

“Dia tak cakap.. tapi kebelakangan ini dia selalu update status WhatsApp mengadu dah nak raya, tahun-tahun sebelumnya dapat beraya dengan keluarga, tahun ni dah takda” kata Salmiah.

Walaupun pada zahirnya Rashid kelihatan kuat dan selalu tertawa namun Salmiah berkata, remaja itu sebenarnya dilanda kerinduan mendalam terhadap mak dan ayahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast