Home Nasional Pesakit melambung dalam ambulans kerana jalan tidak rata

Pesakit melambung dalam ambulans kerana jalan tidak rata

DABONG – Akibat jalan tidak rata, seorang pesakit berdepan detik menakutkan sepanjang perjalanan dengan ambulans dari Dabong ke Hospital Kuala Krai (HKK), Kelantan.

Pesakit, Tuan Kamaruddin Raja Husin, 70-an, yang menghidapi kompilasi jantung mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik di desa Mahligai dekat sini.

Bagaimanapun, pegawai perubatan yang merawatnya mengarahkan beliau dihantar ke HKK untuk tindakan lanjut.

“Ayah kemudian dibawa ke HKK dengan ambulan klinik berkenaan dan dibawa ke HKK untuk rawatan jantung dan penyakit buah pinggang kronik yang dihadapinya.

“Sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Ayah yang terlantar di katil dalam ambulans itu melambung-lambung.

“Dalam keadaan sakit dan lemah, ayah terpaksa memegang palang untuk mengelak daripada jatuh dan saya pula, dalam usaha memegang ayah, tercabut tudung kepala,” katanya anaknya yang mahu dikenali sebagai Zarina kepada MalaysiaGazette, semalam.

Menurutnya, keadaan itu disebabkan permukaan jalan dari Dabong ke Kuala Krai tidak rata menyebabkan pemandu ambulans terpaksa memandu dalam keadaan berhati-hati, di samping mengelak kenderaan daripada terlanggar lubang.

Katanya, beliau tidak salahkan pemandu ambulans berkenaan kerana tugasnya untuk memastikan pesakit cepat sampai ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya harap kes ini mendapat perhatian wakil rakyat dan kerajaan negeri kerana jalan tidak rata tanpa dibaik pulih boleh mengundang pelbagai kejadian tidak diingini.

“Sebenarnya, kami perit naik ambulan lagi jika keadaan jalan raya masih tidak berubah, kerana bimbang yang sakit akan bertambah sakit dan boleh pengsan dibuatnya,” katanya. – MalaysiaGazette