Sebanyak 24 Pusat Pemasangan RFID (Identifikasi Frekuensi Radio) disediakan di sepanjang lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS) yang merupakan sebahagian daripada lebih 60 pusat pemasangan di seluruh negara.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 Pusat Pemasangan RFID (Identifikasi Frekuensi Radio) disediakan di sepanjang lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS) yang merupakan sebahagian daripada lebih 60 pusat pemasangan di seluruh negara.

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, pusat itu dikendalikan oleh pasukan yang berdedikasi dan komited sepenuhnya dalam memasang dan memastikan kadar pengesanan yang tinggi daripada tag RFID pada setiap kenderaan.

“Kami juga ingin menggalakkan pelanggan yang mengalami isu pengesanan tag RFID untuk mengunjungi mana-mana pusat pemasangan terdekat untuk pemeriksaan lanjut bagi membetulkan masalah yang dihadapi berkenaan tag RFID,” katanya.

Sementara itu, PLUS berkata, harga jualan tag RFID tidak diputuskan atau dikenakan oleh PLUS dalam apa jua cara dan ia adalah mengikut budi bicara mutlak Touch ‘n Go Sdn Bhd sebagai pemilik produk gerbang pembayaran termasuk kad Touch ‘n Go dan peranti SmartTAG.

“Peranan PLUS adalah daripada aspek pemasangan, integrasi sistem dan operasi pembaca gantri di plaza tol dan mengekalkan standard ISO IEC180000-6C.

“Apabila kami mendapat lebih banyak trafik melalui lorong RFID, kami mengumpul lebih banyak data. Data tambahan ini membolehkan kami untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kecekapan sistem sepanjang masa, untuk memberikan pelanggan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” katanya.

Pelanggan boleh mendapatkan senarai pusat pemasangan RFID melalui https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres. – MalaysiaGazette