Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

KOTA BHARU – Polis merampas 101.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 19 kg pil kuda serta empat liter ubat batuk bernilai RM4.6 juta dan menahan tujuh suspek dalam enam serbuan di Kelantan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek berumur 25 hingga 46 tahun termasuk sepasang suami isteri itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai mulai aktif sejak Disember lepas.

“Saringan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek itu negatif dadah, namun seorang suspek didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kesemua mereka ditahan reman hingga 22 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua JSJN Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 602,540 orang penagih dadah.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 dan JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM538,943.50 termasuk 11 buah kenderaan, pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan wang tunai.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM6,143,343.50 dan hasil operasi kali ini JSJN telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dikesan dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – Bernama