Chong Chern (tengah) bersama pegawai penyiasat kes, Inspektor Nazrin Sham Mat Zain menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD SPS, Pulau Pinang hari ini.

JAWI – Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah untuk kegunaan parti liar serta pusat hiburan dalam satu serbuan di kediaman mereka di Simpang Ampat di sini pada Rabu lalu.

Kegiatan pasangan berusia 31 dan 38 tahun itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sama di Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, hasil siasatan mendapati suspek lelaki berusia 38 tahun itu akan mencampurkan dadah dalam minuman tiga dalam satu (3 in 1) bersama rakannya untuk dijual kepada pengunjung pusat hiburan serta parti liar.

Chong Chern.

Jelas beliau, suspek menjual minuman 3 in 1 campuran dadah pada harga RM100 satu paket selain memberi tawaran diskaun RM100 hingga RM200 bagi mereka yang membeli 10 atau 20 paket.

“Hasil siasatan juga mendapati sindiket ini aktif sejak dua tahun lalu dan dadah yang dihasilkan untuk pasaran tempatan.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 164 minuman 3 in 1 campuran dadah yang bernilai RM214,776. Turut disita sebuah kenderaan, barang kemas yang bernilai RM37, 240,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Chong Chern menunjukkan dadah dalam campuran minuman 3 in 1 yang dirampas polis.

Mengulas lanjut Chong Chern berkata, pasangan suami isteri itu tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Selain itu, ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

“Kedua-dua mereka kini direman sehingga 20 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau. – MalaysiaGazette