Suspek lari dengan kereta curi Satria dari MRR2 berjaya dicekup di Kepong sementara dua lagi rakan sejenayah yang melarikan diri sedang diburu polis dalam kejadian hari ini.- Gambar Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini menyebabkan seorang suspek mencuri kenderaan dicekup polis hari ini.

Suspek yang sebelum itu memecut laju kereta yang dipandunya daripada pemeriksaan polis dikejar namun akhirnya buntu apabila ‘tersangkut’  di Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, poihaknya hari ini telah menerima satu laporan berkenaan kejadian dan hasil siasatan awal mendapati semasa kereta peronda polis (MPV) sedang membuat rondaan di kawasan itu telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Satria warna hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil semakan sistem polis mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan tidak sama dengan jenis kereta yang dipandu suspek sebelum petugas MPV bertindak menghampiri kereta Satria tersebut.

“Namun secara tiba-tiba pemandu kereta itu bertindak memecut laju dengan cara berbahaya ke arah Kepong,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Eng Lai, keadaan jalan raya yang sibuk serta sesak teruk menyebabkan suspek pemandu kereta Satria itu bertindak melanggar beberapa buah kenderaan orang awam serta motosikal e-hailing bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Kemudiannya salah seorang suspek telah berjaya diberkas oleh kerana kereta yang dipandu suspek telah terperangkap di dalam kesesakan jalan raya di kawasan Metro Perdana Jalan Kepong manakala dua lagi suspek sejenayah telah melarikan diri.

Hasil semakan pihak polis mendapati kereta Satria yang ditahan ini telah dilaporkan hilang di Taman Melawati pada 9 April lalu.

“Suspek yang ditangkap ini mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah dan kini telah ditahan di Ibupejabat Polis Daerah Sentul bagi membantu siasatan lanjut.

“Sementara itu, pihak polis kini sudah mempergiatkan usaha untuk mengesan dua lagi suspek yang masih bebas,” ujarnya.

Tegas Eng Lai, siasatan lanjut akan dibuat polis bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam sindiket curi kenderaan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana telah menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – MalaysiaGazette