Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah premis hiburan dikenakan tindakan penutupan serta merta kerana melanggar syarat lesen.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan penutupan dibuat menerusi hasil siasatan terperinci terhadap 12 buah premis hiburan disemak di tiga lokaliti di ibu negara, malam tadi.

Menurut Jalaluddin, tiga buah premis hiburan yang diambil tindakan itu dibuat di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 kerana menjalankan aktiviti hiburan (muzik) tanpa lesen.

Tindakan sita terhadap 10 barangan perniagaan berkaitan aktiviti hiburan di premis-premis tersebut juga dilaksanakan melibatkan pembesar suara, pengadun bunyi/audio, dan alat kawalan konsol Disk Jockey.

“Kesemua premis yang dikenakan tindakan penguatkuasaan didapati telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh DBKL, iaitu menjalankan perniagaan makanan dan minuman tanpa sebarang aktiviti hiburan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, operasi yang dijalankan itu turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Sebarang pelanggaran terhadapnya akan dibawa ke jawatankuasa dan pembatalan lesen perniagaan boleh dikenakan kepada pemilik premis tanpa prejudis” kata beliau memberi amaran kepada pemegang-pemegang lesen supaya tidak terlalu memandang mudah terhadap isu pelanggaran syarat lesen.

Beliau dalam kenyataan sama memberitahu Jabatan Penguatkuasaan DBKL akan membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap setiap premis hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, sepanjang 2021 sehingga Mac 2022, DBKL telah menutup 271 buah premis kerana melakukan pelbagai kesalahan. – MalaysiaGazette