KOTA KINABALU – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini atas 50 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama sekolah bernilai RM21 juta sekitar 2014 hingga 2018 lepas.

Rita Pengeran, 31, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata bank dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk mendapatkan perkhidmatan bekalan makanan bermasak sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di beberapa daerah di negeri ini.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat JPNS di sini, antara Ogos 2014 hingga November 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain turut diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Keningau; menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah; dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.

Mahkamah turut menetapkan 20 Jun tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja.

Sementara itu, seramai 10 individu lain mengaku salah di mahkamah sama atas kesalahan memalsukan dokumen iaitu penyata bank bagi tujuan mendapatkan tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama sekolah.

Mereka ialah Melinah Minus, 31; Yulles @ Osman Yakin, 40; Yunani Haikal, 38; Saliuddin Ariffin, 38; Juanis Yakin, 38; Marudin Andawai, 32; dan Kathlenawati Siambing, 49, dengan masing-masing berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.

Ruslan Rasul, 36, dan Noryana Luciana Abdullah, 43, yang masing-masing berdepan dua tuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan Eunus Likuran, 52, tiga pertuduhan di bawah seksyen sama yang dibacakan sekali dengan Seksyen 471 kanun sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kesemua individu terbabit telah membayar denda tersebut. – BERNAMA