Subject Cluster (KMP) teacher teachers intake vacancy Ministry of Education students school
Mengajar dan mendidik murid sentiasa seronok dan menggembirakan, tetapi langkah sahaja kaki keluar kelas, terus terasa beban menimpa-nimpa.

KUALA LUMPUR – Faktor ‘dinosaur’ dan little napoleon’ yang masih berakar umbi dalam sistem perguruan menjadi faktor ramai guru bertindak bersara lebih awal.

Seorang guru, Mohd Fadhli Salleh mendakwa, selain itu kebebasan bersuara guru disekat dengan pelbagai ugutan halus hinggakan apa juga dasar tidak boleh dipertikai dan dikritik turut menjadi punca.

”Walau kita tahu dasar itu tidak betul, kita kena angguk saja, baharulah kenaikan pangkat lancar dan tiada masalah, ataupun kena jadi ‘Yes Man’ baru selamat dalam sistem ini. Kalau tidak, habis segala benda disekat.

”Yang berbeza pandangan, yang kritis, akan dicop’ selama-lamanya sebagai pembangkang. Nanti kena hantar kursus untuk brainwash, kena surat tunjuk sebab, kena hadir kaunseling, kena tukar, kena ugut dikenakan tatatertib.

”Budaya lapuk bersifat punitif, hukuman dan ugutan masih kukuh berakar umbi dalam sistem. Belum dicerita pelbagai bebanan tambahan melangkaui tugas hakiki yakni mengajar dan mendidik murid lagi,” tulisnya di Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang bimbang peningkatan mendadak guru bersara awal.

Menurut kesatuan itu, sekiranya tiada tindakan diambil bagi membendung masalah guru bersara awal yang dilihat semakin meningkat.

Semalam, NUTP menganggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu dan jumlah berkenaan menyamai kadar guru bersara wajib.

Masalah itu turut mendapat perhatian Timbalan Presiden UMNO, Datyk Seri Mohamad Hasan yang meminta Kementerian Pendidikan tampil menjelaskan kegusaran NUTP berhubung trend guru bersara awal.

Beliau berkata, jika anggaran NUTP itu benar, maka trend bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru adalah sangat membimbangkan.

Mengulas lanjut, Mohd Fadhli berkata, mengajar dan mendidik murid sentiasa seronok dan menggembirakan, tetapi sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari kelas erus terasa beban menimpa-nimpa.

Tambahnya, itu belum lagi berdepan dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) lagi, yang datang ke sekolah minta buat pelbagai program sehingga ada antaranya langsung tidak sesuai dengan murid.

Tetapi guru tidak boleh membantah kerana kalau bantah, guru berkenaan dicopkan berhaluan kiri selamanya dan akan disusahkan.

”Rungutan guru tidak dipeduli. Kalau keluarga murid merungut baru ada tindakan. Sistem hari ini merajakan murid dan ibu bapa serta kurang menjaga kebajikan guru.

”Tiada keterbukaan dalam sistem. Tiada orang berani nak bersuara tegur perkara yang mereka yakini salah dan tidak betul. Masing-masing menjaga periuk nasi sendiri.

”Akhirnya, lahir ramai guru yang sekadar guru, tapi hilang jiwa sebagai seorang pendidik. Pada aku, begitulah,” dedahnya yang pernah melalui pengalaman pahit ditekan sistem, diugut, dikenakan tindakan dan disekat pelbagai peluang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast