Gambar hiasan

UMUM telah maklum bahawa kita telah pun melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang amat membimbangkan. Kini, seluruh negara telah pun memasuki lembaran baru pasca pandemik Covid-19 iaitu fasa endemik.

Sudah tentu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mempunyai strategi menyeluruh bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di semua institusi pendidikan secara bersemuka dengan kapasiti penuh. Namun, terdapat juga perkara yang menjadi kerisauan semua pemegang taruh termasuklah ibu bapa, pemain industri, pelajar, dan warga pendidik.

Perkara yang dimaksudkan adalah impak dan keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah secara dalam talian terhadap peningkatan prestasi pembelajaran murid sepanjang tempoh pandemik. Besar harapan agar sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang telah dilaksanakan adalah setanding dengan kualiti murid yang menjalani kaedah secara bersemuka.

Sudah pasti, matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam segenap aspek sepanjang tempoh endemik ini juga adalah sangat mencabar. Justeru, suatu pendekatan yang realistik dan mesra pelajar perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini dalam tempoh endemik.

Antara aspek yang boleh diberikan perhatian adalah peningkatan motivasi dan efikasi kendiri pelajar sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Motivasi dapat ditakrifkan sebagai keinginan atau semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan.

Manakala, efikasi kendiri pula dapat ditakrifkan sebagai kepercayaan terhadap keupayaan dan kemampuan individu untuk mengatur dan melaksanakan tindakan yang diperlukan dalam menguruskan situasi. Impak besar motivasi dan efikasi kendiri terhadap pelajar adalah peningkatan prestasi akademik di dalam pembelajaran mereka.

Perlu difahami bahawa motivasi dan pembangunan efikasi kendiri pelajar merupakan proses yang perlu dilakukan secara berterusan. Sudah pasti, implikasinya adalah bergantung kepada usaha dan pengalaman pembelajaran yang dilalui. Efikasi kendiri pelajar dapat dibentuk melalui pengisian pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan galakkan cetusan idea pelajar secara berterusan.

Dorongan dan galakkan berterusan daripada ibu bapa dan warga pendidik adalah sangat penting dalam membentuk persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan. Persekitaran sebegini akan membentuk aspirasi pelajar untuk berjaya dalam akademik. Seterusnya, ia juga mampu membentuk interaksi positif dan berkesan antara pendidik dan pelajar.

Hubungan yang baik ini akan membantu proses penerimaan ilmu daripada warga pendidik dengan mudah dan selesa. Pengalaman pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar secara seimbang akan membentuk cara berfikir, bertingkah laku, membuat keputusan bijak, rajin dan tekun berusaha.

Secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi, prestasi dan pencapaian akademik serta kualiti pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhannya. Oleh itu, tumpuan terhadap peningkatan motivasi dan efikasi kendiri pelajar perlu diberikan perhatian serius sepanjang tempoh peralihan pandemik Covid-19 kepada fasa endemik.

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak &

Puan Noor Hafzam Kamarudin
Guru, SK Layang-Layang Kanan, Parit, Perak Darul Ridzuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast