Lokasi nahas yang mengorbankan seorang lelaki kurang upaya (OKU) manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi bertembung di Jalan Kuil Pengkalan, Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi bertembung di Jalan Kuil Pengkalan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, K. Mahendran, 40, maut ditempat di lokasi akibat kecederaan parah di kepala manakala Mohd Akmal Razali, 34, parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa OKU yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai memasuki laluan bertentangan menuju ke arah Pengkalan.

“Akibatnya, motosikal mangsa telah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda ditunggang pekerja kilang berkenaan di laluannya.

“K. Mahendran yang bekerja sebagai tukang bersih maut di lokasi, manakala pekerja kilang, Mohd Akmal parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

K. Mahendran

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal, punca kemalangan adalah disebabkan kegagalan mengawal motosikal.

“Saksi bebas diminta tampil membantu siasatan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan di lokasi hanya menemui serpihan kenderaan di atas permukaan jalan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes dibuka di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette