Bomba menggunakan alat pemotong khas untuk mengeluarkan mayat pemandu treler yang maut selepas merempuh belakang treler rosak yang dihentikan di lorong kecemasan di Lebuhraya Elite menuju ke Subang awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua treler awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan itu berlaku di Kilometer 1.5 Lebuhraya Elite dari arah Shah Alam menuju ke Subang.

Menurutnya, kenderaan berat yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan merempuh di belakang sebuah lagi treler yang berhenti di laluan kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan pemandu berusia 59 tahun tersepit di hadapan dan cedera parah.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kemalangan mengesahkan mangsa yang berasal dari Klang sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk proses bedah siasat di hospital. – MalaysiaGazette