KUALA LUMPUR – Polis belum menerima sebarang permohonan untuk penganjuran Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Debat Perdana itu dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM).
“Setakat ini tiada permohonan (debat perdana Najib-Anwar),” katanya Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor ketika dihubungi hari ini.
Ahad lalu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mengadakan satu sidang media bersama untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai penganjuran debat perdana dua pemimpin politik dari parti mereka.
Dalam sidang media itu selain mengesahkan tarikh debat perdana itu, mereka juga menjelaskan bahawa format debat itu akan merangkumi tiga bahagian untuk tatapan umum rakyat.
Topik pertama yang akan dikupas kedua-dua pemimpin itu adalah berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB), sama ada ia perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Topik kedua melibatkan masa depan Malaysia merangkumi aspek politik, urus tadbir dan hala tuju negara manakala topik terakhir adalah sesi soal jawab.- MalaysiaGazette