Sejumlah lebih 250 pasport antarabangsa milik pekerja asing yang dirampas daripada sindiket penipuan Program RTK oleh Imigreseen Putrajaya di ibu negara 15 April lalu. Ihsan foto JIM

PUTRAJAYA – Satu sindiket penipuan program rekalibrasi tenaga kerja (RTK) yang berselinding di sebalik sebuah syarikat pelancongan tumpas dengan tertangkapnya empat suspek lelaki yang disyaki menjadi dalang kepada aktiviti haram itu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua suspek diberkas dalam operasi yang dilakukan ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur pada 15 April lalu.

“Hasil serbuan menerusi operasi ini, seramai tiga orang warga asing dan seorang lelaki tempatan telah ditahan dan kesemua suspek adalah berusia di antara 20 hingga 47 tahun.

salah seorang suspek warga Bangladesh yang ditahan semasa serbuan di sebuah premis di ibu negara menjadi markas sindiket penipuan Program RTK di ibu negara 15 April lalu. Gambar Ihsan: JIM

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis yang diserbu itu penguatkuasa berjaya menemui sejumlah 264 naskah pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam Program RTK,” katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut, di sini, hari ini.

Tambah beliau, turut dirampas dalam serbuan itu adalah wang tunai berjumlah RM7,270 dipercayai sebahagian hasil kutipan transaksi harian dari aktiviti berkenaan daripada mangsa pekerja asing.

Ujarnya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit adalah menjadikan sebuah premis syarikat pelancongan sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran daripada warga asing untuk menyertai Program RTK tersebut.

Antara dokumen perjalanan yang dirampas oleh JIM daripada sindiket penipuan program RTK semasa serbuan di sebuah premis di ibu negara pada 15 April lalu. Ihsan JIM

“Sindiket berkenaan juga didapati menjalankan aktiviti menyerupai syarikat outsourcing yang telah dimansuhkan dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dormant) untuk mendapatkan kuota pekerja asing di bawah Program RTK.

“Khidmat pekerja-pekerja asing yang berjaya didaftarkan akan ditawarkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan bayaran tertentu.

“Pihak sindiket dipercayai mengenakan bayaran di antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang bagi seseorang pekerja asing itu bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan,” ujar beliau.

Sejumlah lebih 250 pasport antarabangsa milik pekerja asing dan wang tunai hasil kegiatan yang dirampas daripada sindiket penipuan Program RTK oleh Imigreseen Putrajaya di ibu negara 15 April lalu. Ihsan foto JIM

Menurut Khairul, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dipercayai berjaya mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj yang dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka.

Justeru katanya, kesemua tahanan berkenaan telah dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Keempat-empat suspek berkenaan kini sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Orang ramai terutamanya warga asing dan majikan dinasihatkan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi mengelak jadi mangsa dalam urusan mendapatkan PLKS yang sah di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” tegasnya. – MalaysiaGazette