MBMB mengeluarkan kompaun RM250 kepada operator Bazar Aidilfitri Klebang yang didakwa beroperasi tanpa lesen mengutip parkir daripada pengunjung bazar berkenaan.

MELAKA – Tiga operator parkir haram di Bazar Aidilfitri Klebang masing-masing dikompaun RM250 selepas didapati beroperasi tanpa lesen mengenakan caj parkir terhadap pengunjung bazar berkenaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, tindakan itu diambil dalam satu operasi bersepadu MBMB bersama Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 14 April lalu.

Menurutnya, operasi selama lima jam bermula jam 10 malam itu diadakan di dua bazar Aidilfitri terkenal di negeri ini iaitu di Jalan Hang Tuah dan Klebang susulan aduan berlaku aktiviti ‘ulat’ parkir atau kutipan parkir secara haram di bahu jalan kedua-dua bazar terbabit.

“Bagaimanapun sepanjang operasi bersepadu ini, kami tidak mengesan sebarang aktiviti ‘ulat’ parkir sebagaimana didakwa atau yang tular berlaku di bahu jalan atau petak parkir MBMB.

“Cuma di Bazar Aidilfitri Klebang, kita mengesan daripada empat tapak parkir persendirian yang beroperasi, tiga daripadanya tidak memiliki lesen menyebabkan tindakan kompaun dikeluarkan,” katanya selepas Majlis Pengagihan Bubur Lambuk MBMB Bersama Maggi di sini hari ini.

Tambahnya, kompaun bernilai RM250 setiap satu itu dikenakan di bawah kesalahan Undang-undang Kecil (UUK)3(a) UUK Pelesenan Tempat Letak Kereta Persendirian (MBMB) 2010.

“Walaupun tiada aktiviti ‘ulat’ parkir dikesan, kita akan teruskan operasi bersepadu ini secara berkala dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengutip caj parkir secara haram di tempat-tempat awam ini.

“Saya difahamkan, caj dikenakan antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kenderaan bergantung pada lokasi sedangkan kita sudah umumkan sebelum ini semua parkir awam bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah MBMB adalah percuma,” katanya.

Minggu lalu, tular gambar dan rakaman video mengenai aktiviti ‘ulat’ parkir di dua bazar berkenaan yang didakwa mengaut keuntungan mudah mengutip bayaran parkir daripada pengunjung dua bazar terbabit.

Penganjur kedua-dua bazar berkenaan bagaimanapun menafikan individu yang mengutip bayaran itu adalah petugas mereka.

Sebelum ini, Zainal memberi jaminan tidak akan wujud isu ‘ulat’ parkir di mana-mana bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan pentadbirannya termasuklah daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengaut keuntungan dengan cara demikian.