Warga Kanada yang dikesan tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di dalam sebuah pasar raya di Jalan Ampang dalam insiden 17 April lalu akhirnya diberkas untuk siasatan lanjut polis semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang tular di media sosial kerana tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di dalam sebuah pasar raya di ibu negara berjaya ditahan polis.

Suspek yang merupakan seorang warga Kanada ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan berhubung perlakuannya di Pasar Raya Village Grocer M-City Jalan Ampang di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek secara sukarela hadir  ke IPD Wangsa Maju pada jam 8.30 malam, semalam untuk memberi keterangan setelah menyedari videonya tidak memakai pelitup muka telah viral di media sosial.

“Pihak polis menahan suspek berkenaan untuk siasatan namun telah dibebeaskan selepas selesai rakam keterangan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki itu berusia 44 tahun serta bekerja dan menetap di Kuala Lumpur.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan , Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya. MalaysiaGazette