Mohd Imran Tamrin

KUALA LUMPUR – Tidak tepat dan tidak wajar mengatakan peguam bela berdosa sekiranya mewakili pihak yang diketahui bersalah.

Salah seorang pengamal undang-undang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, hanya mahkamah menerusi hakim layak menentukan seseorang yang dituduh bersalah atau tidak.

Jelasnya, peguam bela tidak berfungsi untuk membela pesalah sebaliknya mewakili individu yang dituduh di mahkamah dan memastikan proses keadilan berjalan dengan adil dan saksama.

“Kita sebagai peguam mewakili tertuduh khususnya dalam kes jenayah, bukan nak membela pesalah tetapi nak memastikan individu dan orang yang dituduh mendapat pembelaan sebaiknya dan diadili mengikut proses undang-undang yang saksama itu tugas peguam.

“Peguam sebenarnya sebahagian daripada pegawai mahkamah, pemudah cara kepada proses keadilan dalam perlembagaan. Bukan semata-mata membela orang yang salah.

“Tugas untuk membuktikan seseorang itu bersalah atau tidak adalah hakim. Tidak boleh kata peguam yang mewakili tertuduh duit hasil tersebut haram saya rasa itu tidak tepat, tidak adil dan suatu yang tidak wajar dikeluarkan oleh seorang mufti,” katanya ketika dalam sidang media.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkata “berdosa jika seorang peguam membela pihak diketahui bersalah dan wang pembayaran yang diterimanya adalah merupakan rezeki yang haram”.

Mohd Imran berkata, mahkamah akan menilai bukti-bukti yang dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan seseorang itu bersalah atau tidak.

“Sudah pasti pendakwa raya melalui siasatan polis ada dalil dan hujahnya nak membuktikan seseorang itu bersalah. Kita perlu hormat hak orang yang dituduh dalam undang-undang iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah.

“Pihak pembelaan akan mendengar versi pembelaan dan begitu juga pihak pendakwa raya. Versi siapa yang betul akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta, keterangan, dokumen dan sebagainya,” tambah peguam berkenaan.

Semalam, dalam hantaran di Facebook, Mufti Perlis berkata, dosa wang yang diambil daripada pihak yang salah itu lebih buruk daripada hasil pelacuran.-MalaysiaGazette

Berdosa peguam bela pihak yang salah, wang diterima haram – Mufti Perlis

1 Komen

  1. lawyer jika beragama Islam mesti tahu adakah kerja mereka benar2 mengikut syariah , jika sudah diketahui bahawa seorang itu memang terlibat jenayah kenapa memilih mahu wakili..Apa yang diperkatakan oleh Mufti Perlis ada kebenaran.

Comments are closed.