Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan bacaan Doa Qunut Nazilah di tiga masjid utamanya bermula malam ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, masjid terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Umum tahu berlaku konflik di Palestin sejak sekian lama dan terkini Masjidil Aqsa diceroboh dalam keadaan umat Islam sedang memberi tumpuan beribadah di bulan Ramadan ini.

“Justeru, JAKIM mengambil inisiatif melalui masjid utama ini untuk melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa solat sunat Witir setiap malam bermula malam ini.

“Ini khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hakimah, pihaknya juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau bawah seliaan masing-masing.

Beliau menyeru seluruh keluarga Malaysia untuk sama-sama terus berdoa agar Malaysia sentiasa kekal aman, Makmur dan sejahtera. – MalaysiaGazette