Gambar hiasan

MEROKOK merupakan tabiat yang menjadi kebiasaan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Malaysia tetapi di seluruh dunia. Dianggarkan bahawa 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati terdapat lebih daripada 27,000 kematian yang berlaku setiap tahun disebabkan oleh tabiat merokok.

Tabiat merokok sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser, masalah pernafasan, masalah jantung, strok dan sebagainya.  Ramai perokok menggunakan bulan Ramadan sebagai titik permulaan untuk cuba berhenti merokok. Bulan Ramadan dianggap sesuai untuk perokok berhenti merokok kerana mereka perlu menahan diri daripada merokok selama lebih kurang 13 jam pada waktu siang sewaktu berpuasa. Ini dapat melatih ransangan otak perokok pada kadar nikotin yang
rendah.

Hukum merokok

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke – 37 yang bersidang Kali Ke – 37 pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.

Pandangan ini masih dipegang sehingga kini berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghidu bau asap rokok berkenaan, serta sikap merokok itu sendiri yang menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan perokok yang menggunanya.

Pengharaman rokok ini juga selaras dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” dan di dalam Surah al–A’raf: 157 yang bermaksud “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”.

Petua berhenti merokok

Berikut adalah beberapa petua untuk berhenti merokok:

1. Catatkan
Senaraikan sebab-sebab anda mahu berhenti merokok dan letakkan di tempat yang mudah dilihat. Ini dapat membantu mengingatkan anda sekiranya anda berasa lemah dan ingin kembali merokok.

2. Berhenti merokok bersama kawan
Rakan yang mempunyai misi yang sama dapat membantu memberi motivasi kepada satu sama lain, serta menjadi tempat untuk meluahkan perasaan sekiranya anda menghadapi kesukaran sewaktu berhenti merokok.

3. Berikan ganjaran kepada diri sendiri
Mulakan ‘tabung berhenti merokok’, untuk menyimpan wang yang berjaya disimpan kerana berhenti merokok. Untuk memberi motivasi kepada diri anda, tetapkan cara membelanjakan simpanan tersebut seperti pergi bercuti bersama keluarga.

4. Kelilingi diri anda dengan sokongan
Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah. Kelilingilah diri anda dengan keluarga dan sahabat yang dapat memberi sokongan dan jauhkan diri daripada rakan-rakan yang akan mengumpan anda untuk kembali merokok. 5. Memenuhi masa untuk menahan keinginan untuk merokok. Apabila anda merasakan keinginan untuk merokok, alihkan perhatian anda dengan
melakukan aktiviti lain seperti berjalan-jalan, menonton televisyen, atau membaca.

6. Lakukan aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal adalah cara terbaik untuk mengurangkan tekanan daripada ketagihan rokok. Pelbagai jenis aktiviti fizikal yang boleh anda lakukan seperti berjalan, berlari, berenang, berbasikal atau bermacam lagi aktiviti sukan yang lain.

7. Pemakanan yang sihat
Anda pasti pernah mendengar mitos bahawa berat badan akan bertambah selepas berhenti merokok. Ini sebenarnya terjadi kerana sesetengah orang menahan ketagihan rokok dengan makan. Untuk menghalang berat badan meningkat, sediakan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang sihat untuk saat-saat ini.

8. Dapatkan bantuan jika perlu
Janganlah berasa malu untuk mendapatkan bantuan untuk berhenti merokok. Anda boleh pergi ke klinik kesihatan terdekat untuk mengikuti program berhenti merokok.

Di situ, pelbagai nasihat yang boleh diperolehi untuk berhenti merokok. Selepas konsultasi dengan pegawai perubatan, Terapi Penggantian Nikotin (NRT) juga boleh diberikan untuk mengatasi masalah ketagihan merokok. Anda juga boleh mendapatkan bantuan perkhidmatan berhenti merokok dengan melayari laman sesawang JomQuit (www.jomquit.com)

Sekiranya anda pernah cuba berhenti merokok tetapi gagal, janganlah berputus asa. Jika anda memang berminat untuk berhenti merokok, tanamkan niat, berdoa kepada Allah SWT, cuba petua-petua di atas dan dapatkan bantuan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai perubatan. Ambillah langkah pertama anda pada hari ini untuk kesihatan
anda dan keluarga anda.

Oleh: Dr Norashikin Amran
Pakar Perubatan Dalaman
Pensyarah Perubatan
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia

1 Komen

  1. Semua orang berpuasa berhenti merokok disiang hari . Cuma hisap sekejap je waktu malam …. amboi seronok dan puas orang merokok saja yang tahu apa rasa ketika itu . Rokok tak boleh hisap banyak . Hanya sekali sekala sahaja barulah rasa nikmatnya .

Comments are closed.