Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI- Menteri Besar , Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan semua pusat jagaan kanak-kanak khususnya kanak-kanak istimewa di negeri ini dipantau dan diaudit.

Oleh itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu melakukan pemantauan itu secara berkala bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Beliau memandang serius kes penderaan, keganasan atau eksploitasi kanak-kanak mahu kejadian seumpama itu tidak berlaku di mana-mana pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini.

“Saya akan memastikan kerajaan negeri melalui JKM Johor memantau dan membuat audit di semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negeri Johor dengan tumpuan khas diberi kepada pusat jagaan kanak-kanak istimewa.

“Selain JKM Johor, saya juga berharap semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi lain yang terlibat secara tidak langsung dapat memberi kerjasama penuh untuk memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak beroperasi secara sah dan dijaga dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar penambahbaikan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian menimpa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Down Sindrom iaitu Bella, berulang.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya dalam satu kenyataan, semalam.

Baginda bertitah demikian setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Tambah baginda, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” tegasnya.

Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia  didera dan diabaikan semasa menjadi penghuni Rumah Bonda.- MalaysiaGazette