Pengarah Urusan Profesional Mutawwif Development, Abdul Halim Ikhsan (kiri) dan Presiden Bumitra Malaysia, Harun Ahmmu (kanan) ketika melakukan petukaran memorandum pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Professional Mutawwif Development dan Bumitra Malaysia di Berombak Marina, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd. (PMD) menyasarkan dapat melahirkan seramai 3,000 mutawwif profesional menjelang tahun 2022.

Pengarah Urusannya, Abd Halim Ikhsan berkata, keyakinan itu berdasarkan penubuhan pusat pengajian bertauliah yang baharu dan pertama di Malaysia menerusi pengenalan program pengajian Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah.

Menurut beliau, pelajar program itu bukan sahaja pembelajaran secara teori yang dijalankan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman luas dan dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Malah jelas beliau, pelajar juga diwajibkan mengikuti pembelajaran bagi projek akhir ke Mekah dan Madinah di Arab Saudi untuk menjalani praktikal umrah secara realiti.

“PMD kini bertindak sebagai pusat bertauliah yang memfokuskan pentauliahan bakal mutawwif bagi mengikut garis panduan pembelajaran yang standard untuk membawa jemaah pada masa akan datang.

“Sehingga kini, PMD telah menjalinkan usahasama dan membuka cawangan pusat bertauliah di beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, UiTM Mukah, UiTM Samarahan delain Kolej Sidma Sarawak dan Kolej Sidma Sabah bagi menempatkan pelajar di bawah institusi ini,” katanya.

Pengarah Urusan Professional Mutawif Development, Abdul Halim Ikhsan ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Professional Mutawif Development dan Bumitra Malaysia di Berombak Marina, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara PMDSB Dengan Bumitra Malaysia dan Sesi Penyerahan Plak Kerjasama Rakan Industri serta Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Bumitra Malaysia, Harun Ahmmu.

PMD kini memiliki lapan pusat bertauliah iaitu Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) yang telah berdaftar di bawah pentauliahan JPK yang menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah sejak 2020.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menambah, pihaknya bangga kerana usaha memperkenalkan program pengajian diploma itu disokong penuh oleh Bumitra Malaysia seiring dengan kebolehpasaran graduan bagi kerjaya mutawwif untuk berdaftar terus di bawah Agensi Pelancongan Malaysia.

Jelas beliau, program pengajian yang diiktiraf itu sekaligus akan memberikan satu aspirasi baharu apabila bakal memberikan suatu impak yang cukup besar bukan sahaja di dalam dunia pendidikan.

Pengarah Urusan Professional Mutawwif Development, Abdul Halim Ikhsan (kiri) dan Presiden Bumitra Malaysia, Harun Ahmmu (kanan) ketika melakukan petukaran memorandum pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Professional Mutawif Development dan Bumitra Malaysia di Berombak Marina, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

Malah ujarnya, ia mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang mutawwif khususnya serta pelancongan Muslim yang berilmu bagi menerajui industri pelancongan di masa akan datang.

Menurut beliau, pada masa sama, program diploma itu turut menawarkan kursus pengajian pelancongan di dalam dan luar negara bagi melahirkan graduan yang kerjaya mutawif itu sendiri.

“Namun skop kerjaya mereka juga diperluas sebagai Ketua Pelancong Muslim yang akan membawa pelancong ke serata dunia bersama agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Ia akan mengiktiraf kerjaya mutawwif bukan sahaja di Malaysia malah bakal diperluaskan ke seluruh dunia yang mempunyai masyarakat Islam,” katanya.

Abdul Halim memberitahu, seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) pada masa kini, jemaah perlu bersama-sama mutawwif semasa menunaikan umrah dari Malaysia.

“Ini juga menunjukkan kebolehpasaran dalam bidang mutawwif diperlukan adalah sangat tinggi pada masa akan datang.

“Hal ini seterusnya dapat membantu para jemaah menyelesaikan isu semasa penipuan yang dihadapai sepanjang menunaikan mmrah dan percanggahan pendapat dan mazhab terhadap pembelajaran semasa menunaikan umrah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast