DSP Yap Huat Tian

KUANTAN – Seorang guru kerugian sebanyak RM89,200 setelah terpedaya dengan sindiket penghantaran barang tidak wujud dalam kejadian di Kuala Lipis, semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa terperdaya setelah menerima pesanan mesej untuk menerima hadiah menerusi Instagram.

Sebelum ini, pengadu mendakwa ketika mengajar di Sungai Koyan, Lipis, pada 9 April lalu dia telah terima pesanan ringkas melalui aplikasi Instagram daripada individu yang tidak dikenali mahu berkenalan dengannya.

“Suspek kerap kali bertanyakan hari lahir mangsa kerana berhasrat menghantar hadiah dari luar negara kepada pengadu sebagai tanda pengenalan.

Guru berkenaan telah memberikan nombor telefon miliknya kepada suspek untuk berhubung dan memberikan alamat sekolah selepas suspek mahu menghantar hadiah kepadanya.

Kemudian hari berikutnya pada 10 April 2022 pengadu telah menerima panggilan daripada pihak khidmat penghantar memaklumkan ada barang yang telah diposkan kepadanya.

“Namun hadiah tersebut telah disita oleh pihak kastam dan suspek juga telah menghantar resit sebagai bukti.

“Katanya, pihak kastam telah membuat pemeriksaan dan menyatakan terdapat pelbagai barang berharga di dalam kotak tersebut seperti beg tangan , barang kemas, cermin mata, anak patung dan wang sebanyak AS$60,000,” katanya menerusi kenyataan.

Kemudian pengadu telah diminta mengikut segala arahan yang diberikan untuk membuat pembayaran ke dalam beberapa akaun bank.

Mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM89,200 melalui 12 kali transaksi.

Setelah selesai melakukan semua pindahan wang itu, guru berusia 35 tahun merasa dia tertipu dan membuat laporan polis semalam.

Kes masih dalam siasatan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette