Nur Aminahtul Mardiah Md Nor

KUALA LUMPUR – Penyertaan secara aktif empat peguam pemerhati yang dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan memberikan keadilan terhadap remaja sindrom down, Bella dan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Ketua Pasukan Pembelaan Siti Bainun, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, pihaknya berbesar hati dengan penyertaan empat orang peguam tersebut bagi menyaksikan sendiri perbicaraan yang berlangsung demi keadilan buat Bella dan juga untuk tertuduh.

Nur Aminahtul berkata, pihak pembelaan tidak akan menolak atau mempertikaikan penyerataan keempat-empat peguam yang dicadangkan oleh Tunku Ismail itu menyaksikan perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Kami sangat berbesar hati dengan penyertaan mereka sebagai peguam pemerhati yang akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana kes berlansung demi keadilan untuk kedua-dua, Bella dan Siti Bainun.

“Jika penyertaan mereka secara aktif dibenarkan oleh mahkamah, maka ianya satu ketelusan yang akan berpihak kepada keadilan bagi Bella dan Siti Bainun,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Ditanya sama ada pasukan pembelaan berasa tertekan dengan kehadiran keempat-empat peguam pemerhati tersebut, Nur Aminahtul Mardiah berkata, pihaknya tidak merasakan sebarang tekanan.

Semalam Hakim Izralizam Sanusi membenarkan permohonan empat peguam dilantik oleh Tunku Ismail untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam Khairul Anwar Rahmat memaklumkan bahawa dia dan tiga lagi peguam telah dilantik untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak Bella.

Peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat hadir bagi mengikuti perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

“Kami mohon untuk hadir bagi mengikuti perbicaraan kes ini dengan persetujuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun selepas dia (Rina) menghadap Tunku Mahkota Johor.

“Kami juga akan memohon untuk hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) bagi pihak anakanda Bella selain memohon mendapatkan transkrip rakaman mahkamah (CRT) untuk meneliti perbicaraan sebelum ini,” kata peguam itu.

Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati itu ialah Baljit Singh Sidhu, Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Sementara itu, Izralizam juga akan mempertimbangkan permohonan peguam berkenaan bagi mendapatkan CRT.

Tunku Ismail berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang selepas mengadakan pertemuan dengan Rina di Royal Johor Polo Club di Johor Bahru.

Perbicaraan akan bersambung pagi ini dengan pasukan pembelaan akan meneruskan sesi soal balas terhadap saksi kelima pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, Siti Bainun, 30, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu, yang kini dibicarakan atas pertuduhan tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette