lokap
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dilakukan bagi memastikan garis panduan dan undang-undang berkaitan penjagaan kanak-kanak dipatuhi.

Pengasas Bersama Bantu-Bantu Malaysia, Datin Dian Lee Cheng Ling berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKM perlu bertindak lebih efektif tanpa bergantung dengan aduan semata-mata.

Bantu-Bantu Malaysia merupakan satu gerakan atau inisiatif bersama ahli dan bukan pertubuhan bukan kerajaan.

Kata Dian, penambahbaikan ini boleh dilakukan dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam masa yang sama menurut beliau, keberkesanan Bahagian Penguatkuasaan JKM juga perlu ditingkatkan dengan menambah anggotanya.

“Penambahan keanggotaaan penguatkuasaan ini akan dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan, penyiasatan serta penyediaan kertas pendakwaan terutama dalam kes-kes berkaitan kanak-kanak.

“Sebagai contoh, di bandar-bandar besar, terdapat pejabat JKM yang hanya menempatkan lima pegawai khusus yang melaksanakan tugas khidmat masyarakat, perlindungan dan pemeliharaan dan penguatkuasaan terhadap Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

“Bebanan seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berterusan dan kerajaan perlu ambil langkah segera sebagai langkah menangani pelbagai isu berkaitan kanak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Dian berkata, kerajaan perlu menambah kempen kesedaran kepada ibu bapa untuk memilih Taska yang berdaftar.

Menyedari pemilihan pusat jagaan kanak-kanak berpunca daripada bayaran lebih murah dalam kalangan yang tidak berdaftar, beliau berkata, aspek itu juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, proses pendaftaran perlu dipermudahkan.

“Antara faktor kewujudan Taska seumpama ini adalah berikutan penjagaan tradisi sesuatu keluarga yang menghantar anak-anak kepada individu yang menjalankan khidmat jagaan ini bagi anak-anak mereka.

“Kerajaan perlu meneliti langkahlangkah serta formula yang berkesan untuk memastikan Taska seumpama ini mendaftar khidmat mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Faktor lain, pemilihan Taska di rumah yang tidak berdaftar oleh kalangan ibu bapa adalah berikutan ia adalah satu-satunya pilihan dalam kemampuan pendapatan isi rumah mereka,” tambahnya.

Selain itu, Bantu-Bantu Malaysia turut mencadangkan agar kerajaan meneliti langkah membantu pengusaha pusat jagaan berdaftar untuk mengurangkan kos bagi kursus pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini untuk memastikan mereka mendaftar khidmat yang disediakan,” katanya.

Tambah beliau, JKM harus menapis dan memeriksa latar belakang pemilik pusat asuhan atau pusat kebajikan kanak-kanak dengan bagi memastikan pengendali benar-benar layak dan tidak mempunyai rekod jenayah.- MalaysiaGazette