Beberapa remaja dikesan kamera litar tertutup CCTV yang dipasang DBKL kerana merosakkan papan tanda di kawasan RoL Medan Pasar.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan perbuatan beberapa remaja yang melakukan vandalisme dengan merosakkan papan tanda awam untuk dijadikan papan selaju (skateboard).

Menerusi hantaran di Facebook, DBKL memberitahu, aktiviti itu dilakukan remaja terbabit di kawasan River of Life (RoL) Medan Pasar.

Perbuatan mereka dikesan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi tersebut.

“Anda dikesan! Terdapat segelintir remaja yang telah melakukan vandalisma terhadap papantanda awam untuk permainan papan selaju di kawasan Projek RoL Medan Pasar.

“Perbuatan salah laku ini dikesan melalui CCTV di lokasi berkenaan. DBKL yang membuat susulan segera di kawasan berkenaan mendapati remaja ini telah melarikan diri.

“DBKL dengan kerjasama polis sedang mengesan pelaku ini,” demikian menurut hantaran di laman sosial itu.

DBKL menegaskan, mereka yang terlibat melakukan salah laku terhadap harta awam boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM2,000.

Pihak berkuasa tempatan itu  turut menyatakan, bahawa beriadah boleh tetapi jangan sesekali merosakkan harta benda awam. – MalaysiaGazette