Video muzik hari raya usahawan kosmetik terkenal yang tular ketika ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  kesal di atas penyebaran video muzik hari raya seorang usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Shukri yang sedang tular ketika ini.

Yang DiPertuanya, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana video muzik itu secara jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Malah tegas beliau, ia turut menganggu sensitiviti rakyat di negara ini bahkan lebih parah dari itu telah mencemarkan kesucian Bulan Ramadan yang kini telah memasuki fasa 10 malam terakhir.

“Tumpuan umat Islam yang sewajarnya diberikan untuk memburu Lailatul Qadar dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik bertaraf sampah seperti ini.

“Usahawan yang terkenal konsisten dalam mengeluarkan kandungan-kandungan medianya yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat telah melampaui batasan norma murni masyarakat di Malaysia dengan mengeluarkan video muzik yang mengangkat budaya LGBT yang bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Nasrudin berkata, YADIM ingin menyeru kepada pihak berkuasa terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mempunyai bidang kuasa yang jelas dalam mengawal selia kandungan siber di negara ini untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap penyebaran video muzik tersebut.

“Kita tidak boleh mengizinkan video songsang tersebut dihidangkan sebagai halwa hiburan hari raya kita di Malaysia terutamanya kepada anak-anak dan golongan muda.

“YADIM juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga pengguna untuk menunjukkan sikap dan kuasa pengguna kepada usahawan produk kecantikan ini yang saban kali mengeluarkan kandungan yang bukan sahaja kelihatan memperbodohkan diri sendiri bahkan merendah-rendahkan akal budi rakyat di negara ini.

“Warga pengguna sewajarnya memberikan respon yang tegas meskipun dapat dijangka kita mungkin akan disajikan sekali lagi dengan “drama air mata” permohonan maaf oleh usahawan ini sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Rakyat mesti menolak sikap matlamat menghalalkan cara ini dalam meraih populariti dan laba perniagaan secara murahan.

“YADIM amat mengalu-alukan untuk bersama dengan penggiat seni yang lain dalam menyatakan bantahan terhadap tindakan yang menjatuhkan imej seni tanah air yang mungkin dijadikan alasan dangkal usahawan ini dalam menerbitkan video muzik picisan seperti ini.

Nasrudin menambah, YADIM ingin menyeru seluruh umat Islam di negara ini untu memanfaatkan tempoh 10 akhir Ramadan ini untuk bermunajat kepada Allah SWT agar diterima segala amal ibadah kita semua, diampunkan segala dosa, dijauhkan dari segala unsur songsang yang merosakkan dan digagalkan sesiapa sahaja yang berbuat sedemikian.

“Moga apabila kita menyambut Hari Raya kelak, kita akan menepati maksud sebenar Aidil Fitri iaitu kembali kepada fitrah kemanusiaan dan kehambaan kita dan bukan sebaliknya yang pasti akan mengundang murka Allah SWT,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast