Nik Saiful Adli Burhan (kiri) berbincang dengan isteri tertuduh di luar Mahkamah Tinggi Kota Bharu

KOTA BHARU – Ibarat mati hidup semula, seorang mekanik kereta terlepas hukuman mati hari ini, atas kesalahan mengedar dadah dua tahun lalu.

Menurut pertuduhan asal, Zambri Ahmad, 38, dituduh mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 58.33 gram di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Air Chanal, Tanah Merah, Kelantan pada 25 Julai 2020.

Dia dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Hari ini selepas mempertimbangkan pertuduhan pilihan oleh Pendakwaraya dan pengakuan bersalah oleh tertuduh, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas mensabitkan beliau di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap serta 10 sebatan rotan.

Hakim dalam alasan penghakiman ringkas beliau menyatakan, mahkamah mengambil kira sokongan keluarga terhadap tertuduh, yang mana isteri tertuduh sentiasa hadir memberi sokongan di mahkamah serta mengambil kira pengakuan bersalah oleh tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Peguambela sebelum itu juga memohon pertimbangan mahkamah bahawa tertuduh telah cukup terhukum apabila tidak dapat menguruskan kematian bapanya ketika dua tahun berada dalam tahanan reman.

Pihak pendakwaan diwakili Pendakwaraya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Muhammad Hasif Hasan. – MalaysiaGazette