Foto: IPD Subang

SUBANG JAYA – Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki yang ditemukan rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di Lebuhraya Pantai Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam sekitar 7.57 malam.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati kereta itu datang dari arah Sunway menuju ke Subang Jaya sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke atas pembahagi jalan dan terbakar.

“Ketika pemeriksaan di dalam kereta terbakar itu mayat seorang lelaki dipercayai pemandunya ditemukan dalam keadaan rentung.

“Lelaki itu bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan tersebut,” katanya.

Tambah Abd Khalid, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sekiranya terdapat ahli keluarga yang tidak dapat dihubungi atau tidak pulang dalam masa 24 jam diminta agar keluarganya segera hubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Ngo Su Siao di talian 016-9231558 atau pergi ke balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette