Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gegar-18 ( Generasi Penamat Anti Merokok) di Smk Bandar Seri Putra, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

KAJANG – Kelonggaran prosedur operasi standard Covid-19 yang bakal diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) Rabu ini adalah bersifat selamat dan cermat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, cadangan itu dibincangkan dengan teliti dalam kalangan pegawai dan pengurusan KKM bagi memastikan kerajaan tidak membuat kesilapan tentang kelonggaran SOP.

“Kes semakin menurun dan hospital kita tidak tertekan jadi kita tidak mahu buat apa-apa kesilapan dan nak pastikan apa-apa kelonggaran yang kita bagi kepada masyarakat adalah bersifat selamat dan cermat.

“Atas perkara itu saya akan bentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu nanti dan kalau dipersetujui saya akan umumkan pada hari Rabu nanti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Gegar-18 (Generational End Game Anti Rokok) di SMK Bandar Seri Putra, hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin berkata, KKM dijangka mengumumkan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Rabu ini.

Beliau berkata, perancangan KKM itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, sejumlah 1,939 dos penggalak kedua sudah diberikan setakat ini.

Jelas beliau, kebanyakan penerima adalah daripada golongan warga emas yang mempunyai komobiliti.

Ditanya mengenai bilangan petugas KKM yang akan betugas di Arab Saudi pada musim ini, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengumumkan protokol baharu mengenai petugas kesihatan yang akan dihantar ke tanah suci tidak lama lagi.

“Sekarang ini kita buat penyelarasan dengan Tabung Haji dan dimaklumkan jemaah haji yang dibenarkan adalah berumur 65 tahun kebawah.

“Kita sedang buat persiapan bagi petugas KKM yang akan pergi ke sana.

“Kita menjangkakan disebabkan syarat tersebut maka masalah kesihatan akan berkurangan daripada golongan ini namun kita akan pastikan petugas kesihatan akan mencukupi bila kita hantar ke tanah suci nanti,” katanya.

Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast