Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersama Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika melancarkan gimik pada Majlis Pelancaran Gegar-18 ( Generasi Penamat Anti Merokok) di Smk Bandar Seri Putra, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

KAJANG – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti faktor serta punca guru bersara awal dan mencari penjelasan mengenai isu berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan, KPM akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.

“Data kami ada, pola dari 2017 hingga 2022 hampir sama, cuma kita sedang perincikan lebih sedikit, apakah jadi punca pola itu, dalam masa terdekat.

“Kita akan beri penjelasan mendalam, dari 2017 hingga 2022, pola hampir sama, tidak banyak berubah, ini dikatakan pasca Covid-19, ia tidak mungkin tak semestinya betul, pola mula lebih awal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gegar-18 (Generational End Game Anti Rokok) di SMK Bandar Seri Putra, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Radzi berkata, KPM akan menentukan pendekatan yang paling sesuai bagi menangani isu guru bersara awal.

“Kita kena teliti sebab ada kohort umur yang kita lihat, perincikan, insya-Allah apa pendekatan paling sesuai, dalam konteks guru bersara awal,” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gegar-18 ( Generasi Penamat Anti Merokok) di Smk Bandar Seri Putra, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

Dalam pada itu, kata Radzi, KPM memandang serius tindakan guru yang memuatnaik secara langsung aktiviti mengajar mereka di media sosial.

Beliau menjelaskan, KPM dalam proses untuk memperincikan pendekatan baharu mengenai perkara itu.

“Ada guru-guru yang rakam secara langsung pelajaran mereka dalam kelas ini akan diperincikan di peringkat kementerian.

“Ia membabitkan guru dan murid-murid lain, tidak boleh jawab soalan, lihat secara dalam talian, seluruh negara,” jawab beliau.

Berikutan itu, Radzi menasihatkan guru yang melibatkan diri dalam media sosial agar mengelakkan berbuat demikian pada masa akan datang.

“Kita sedang perincikan apa pendekatan paling sesuai, kita sudah maklumkan kepada guru elak buat demikian.

“Malah KPM akan keluarkan satu makluman kepada guru-guru sewaktu mengajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast