Datuk Kamarudin Md Din. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Rakyat dinasihati agar berwaspada dengan penipuan tawaran kerja secara sambilan yang dikatakan tular di media sosial akhir-akhir ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah mengesan satu mesej tular yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApps berkenaan tawaran kerja secara sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat Nexea.

Melalui mesej tersebut mendakwa kononnya pihak syarikat menawarkan pekerjaan untuk memproses pesanan melalui platform aplikasi dengan upah sekitar RM300 ke RM500 sehari.

“Berdasarkan semakan, empat laporan polis telah dibuat berkait skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh pihak Nexea dan jumlah kerugian keseluruhan bagi kesemua laporan polis tersebut adalah membabitkan RM69,000.

“Melalui siasatan, pelabur yang berminat diarahkan untuk memindahkan wang kepada pihak syarikat akaun yang diberikan yang mana akaun tersebut bagaimanapun dimiliki oleh individu persendirian yang dipercayai keldai akaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada peringkat awal, pelabur akan menerima keuntungan yang dijanjikan namun setelah membuat pindahan wang dalam jumlah yang agak besar, pihak syarikat akan memutuskan hubungan dengan pelabur tersebut.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang berminat dengan tawaran bekerja secara sambilan agar sentiasa berhati-hati dengan penipuan tersebut.

“Sekiranya diminta untuk membuat pindahan wang (terutama kepada akaun bank milik individu persendirian), ianya adalah petanda bahawa anda mungkin menjadi mangsa penipuan.

“Pihak polis percaya wujud kemungkinan untuk penjenayah menyamar sebagai entiti perniagaan yang sah dalam usaha untuk memperdayakan mangsa,” katanya.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” tegasnya.- MalaysiaGazette