Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Perasmian Program MyBest Buy Aidilfitri 2022 di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Harga ayam di negara ini lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Namun, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenaikan harga ayam di pasaran bukan berpunca daripada kartel walaupun akui kenaikan harga ayam memang ketara sejak kebelakangan ini.

”Kementerian ambil cakna dengan perkara ini. Ia bukan kartel (ayam),  saya nak maklum bahawa kalau di Asia Tenggara, Malaysia mengeluarkan ayam dan kita jual paling murah kalau dibanding negara-negara jiran yang ada.

“Sebab itu pada hari ini import ayam seperti tidak berlaku kerana harga di negara jiran lebih tinggi dari kita. Tapi jika dibanding harga sebelum ini, harga sekarang melambung,” katanya ketika ditemui di merasmikan MyBest Buy Aidilfitri 2022 di Wisma Tani, hari ini.

Beliau mengulas laporan dakwaan wujud campur tangan politik dalam isu membabitkan dominasi kartel ayam.

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak akan berdiam diri untuk memastikan  isu kenaikan harga ayam akan ditangani dengan cara yang terbaik.

Lamtaran itu, beliau menyeru rakyat supaya tidak panik. – MalaysiaGazette