KUALA LUMPUR – Semua pelanggan AirAsia yang mempunyai kredit perjalanan tertunggak boleh menggunakan akaun tersebut untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan segera.
Dalam tempoh tiga bulan akan datang, semua penumpang yang mempunyai kredit tidak digunakan dengan syarikat penerbangan itu juga akan menerima baucar perjalanan secara automatik untuk menempah perjalanan sehingga lima tahun melalui akaun airasia rewards.
Selain itu, penumpang yang terjejas oleh proses penstrukturan semula juga bakal menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5% daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan mereka yang tidak digunakan pada ulang tahun pertama penstrukturan semula hutang AAX pada bulan Mac 2023 serta sebahagian daripada keuntungan AAX pada tahun akan datang.
“Kami mengutamakan para tetamu yang terjejas selama dua tahun ini. Sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, dua tahun kebelakangan ini adalah amat mencabar bagi kami dengan penutupan sempadan di seluruh dunia.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu di atas kefahaman dan kesabaran mereka. Kami telah menggunakan tempoh sekatan perjalanan tersebut untuk membina semula syarikat penerbangan ini supaya AAX dapat kembali dengan lebih kukuh pasca pandemik,” kata Kegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail .
Baru-baru ini, AAX telah melancarkan perkhidmatan pasca pandemik pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sydney dan minggu lepas ke New Delhi dan Seoul.
Perkhidmatan ini tersedia untuk tempahan menggunakan akaun kredit atau kredit perjalanan tertunggak untuk perjalanan sebelum 30 Jun 2022.
AirAsia X berkata, jika tiada sebarang tempahan dibuat dalam tempoh ini, kredit perjalanan tertunggak atau akaun kredit akan ditukar secara automatik kepada baucar perjalanan dan akan dikreditkan kepada tetamu dalam beberapa bulan akan datang, sah untuk tempahan perjalanan sehingga lima tahun.
Seperti dalam penyata penerangan yang telah diterima oleh semua pemiutang (termasuk para tetamu) pada tahun lepas, tawaran kredit perjalanan kepada para tetamu yang terjejas oleh Penstrukturan Semula Hutang tersebut adalah mengikut budi bicara pengurusan AAX dan tertakluk pada terma dan syarat. – MalaysiaGazette