baju
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelbagai faktor termasuk musim perayaan yang menjelang telah mendorong jualan pakaian meningkat.

Selain itu, tidak kurang juga orang yang membeli baju baharu sebagai persediaan untuk melancong ke luar negara selari dengan pembukaan semula sempadan.

Presiden Persatuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia, Datuk Seri Tan Thian Poh berkata, secara keseluruhannya, jualan baju sempena perayaan Aidilfitri tahun ini dianggarkan meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Maklum balas daripada pengusaha menunjukkan perniagaan mereka bertambah baik sejak minggu lalu apabila ramai yang membeli baju baharu sebelum balik kampung.

“Pembelian dua tahun lalu adalah kurang kerana ramai yang tidak balik kampung, tetapi keadaannya adalah berbeza tahun ini,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  juga meningkatkan kuasa beli dan keadaan jualan yang baik dijangka berterusan sampai awal Mei.

Sementara itu, beliau turut menjangkakan bahawa harga baju mungkin meningkat 10 hingga 20 peratus selepas ini.

“Stok lama untuk pelbagai jenama masih ada dan peniaga menggunakan kesempatan perayaan untuk meningkatkan perniagaan, jadi mereka mengekalkan harga lama pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga dijangka berlaku kerana faktor domestik dan juga antarabangsa termasuk isu rantaian bekalan untuk pelbagai jenama.

“Masalah kekurangan pekerja yang dihadapi peniaga baju dan kasut menyebabkan pengurangan pengeluaran sebanyak 50 peratus.

“Barangan import pula terjejas kerana masalah logistik termasuk kawalan pergerakan di beberapa bandar di China,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan gaji minimum dan penurunan nilai ringgit juga menyebabkan kos bertambah.

“Kami menjangkakan kenaikan harga akan berlaku selepas Aidilfitri, tetapi keadaan setiap jenama adalah berbeza dan bergantung kepada stok.

“Secara umumnya, kos telah meningkat 20 hingga 30 peratus. Oleh itu, kalau mahu beli baju baharu, baik beli sekarang kerana harga mungkin naik 10 hingga 20 peratus selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette