Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan larangan laungan azan menggunakan pembesar suara bukan berlaku di Malaysia tetapi di Pune, India.

Arahan larangan laungan azan itu dibuat oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena dan ia dilaporkan dalam portal The New Indian Express 17 April lalu.

Senan turut mengarahkan semua pembesar suara masjid dibuang sebelum 3 Mei 2022 dan memperdengarkan puisi untuk dewa di hadapan masjid jika arahan itu tidak dipatuhi.

Susulan itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Tik Tok Syierabahari kerana mengulas isu tersebut secara provokasi dan mungkin boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian kaum di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tegas beliau. – MalaysiaGazette