Injap dan saluran paip di stesen pengedaran gas Gaz-System di Gustorzyn, Poland. Foto Reuters

WARSAW – Rusia akan menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria mulai hari Rabu, menurut syarikat tenaga dan pihak berkuasa.

Syarikat minyak dan gas negara Poland PGNiG berkata, syarikat tenaga Rusia, Gazprom akan menggantung bekalan gasnya ke Poland mulai petang Rabu.

“PGNiG telah menerima surat daripada Gazprom yang mengumumkan penggantungan lengkap bekalan di bawah kontrak Yamal,” kata PGNiG dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, PGNiG juga memastikan bekalan gas ke Poland terjamin kerana ia mempunyai sambungan saluran paip dengan negara jiran dan terminal gas asli cecair (LNG) di barat laut negara itu.

Alasan yang diberikan oleh Gazprom ialah penolakan PGNiG terhadap pembayaran dalam rubel, menurut Agensi Akhbar Poland.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki mengesahkan notis daripada Gazprom untuk menggantung bekalan gas dan berkata, bekalan bahan api Poland mencukupi.

Rusia, yang pada masa ini meliputi hampir semua keperluan gas Bulgaria, juga akan menggantung bekalan gas ke negara Balkan itu pada hari Rabu, kata Kementerian Tenaga Bulgaria pada petang Selasa.

Moscow juga telah memaklumkan Bulgaria mengenai perkara ini lebih awal pada hari Selasa, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Bulgaria telah mengambil langkah pengaturan alternatif untuk bekalan gas asli dan menangani keadaan itu.

Pada masa ini, tiada langkah sekatan diperlukan untuk penggunaan gas di Bulgaria, tambahnya. – Xinhua (https://english.news.cn/europe/20220427/18d02293f22d4b04906750b7304f9fef/c.html)