Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Berbuka Puasa dan Sesi Suai Kenal bersama media i Restoran Ikhwan Delight, Kampung Sungai Penchala. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Kelulusan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen tetap menjadi keutamaan  Pakatan Harapan (PH) buat masa ini, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Status sama ada memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Pusat dan Pakatan Harapan (PH) yang bakal berakhir 31 Julai ini pula menjadi perkara kedua.

”Kita belum jumpa lagi beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana fokus kita sekarang ialah mesti putuskan terlebih dahulu Akta Anti Lompat Parti.

“Progres itu saya difahamkan berjalan dengan baik, jawatankuasa pilihan khas telahpun mengadakan beberapa siri mesyuarat dan kita harap selepas raya (Aidilfitri) nanti, satu tarikh untuk sidang khas dapat ditetapkan,” katanya pada media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sesi Sua Kenal Anthony Loke Siew Fook bersama media, hari ini.

Tambah beliau, kelulusan Akta Anti Lompat Parti perlu diluluskan terlebih dahulu seperti yang telah disyaratkan dalam MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan untuk tidak akan diteruskan lagi MoU berkenaan selepas 31 Julai ini.

MoU itu ditandatangani pada September tahun lalu oleh Ismail Sabri bersama pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH yang bersepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai ini.

Pada 20 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar optimis Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan rang undang-undang itu dalam tempoh sebulan.

Kemudian, Majlis Presiden PH pula pada 11 April dalam kenyataan berkata inginkan Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dipersetujui mereka dan pihak kerajaan dibentang serta diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung Mei 2022. – MalaysiaGazette