M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas sementara untuk menyegerakan kelulusan permohonan majikan penggajian pekerja asing di negara ini.

Langkah itu diambil selepas KSM mengesan terdapat kekangan dalam permohonan majikan untuk menggajikan pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan sejak ia mula dibuka pada 15 Februari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, berdasarkan permohonan yang diterima terdapat permohonan yang mempunyai kekangan untuk diproses disebabkan majikan tidak memenuhi syarat keperluan pematuhan ratio oleh Agensi Kawal Selia (AKS), ketidakpatuhan kepada perundangan perburuhan serta permohonan tidak lengkap.

“Namun begitu, KSM sedar akan keperluan mendesak industri sepanjang tempoh dua tahun lepas susulan tiadanya kemasukan pekerja warga asing bagi menampung kekurangan guna tenaga.

“Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 April lalu telah bersetuju agar proses permohonan kuota pekerja warga asing ini dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Susulan itu, jelas Ahli Parlimen Tapah itu lagi, mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 April 2022 telah mengarahkan penubuhan One Stop Centre (OSC) Khas dengan penyertaan AKS disegerakan dan diselesaikan.

Ujar beliau, OSC Khas mula beroperasi pada 18 April lalu dan akan berakhir pada 29 April ini namun demikian, KSM peka akan tuntutan industri kepada khidmat pekerja warga asing.

Oleh yang demikian jawatankuasa khas sementara dibuat untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing yang masih tertangguh.

“Proses temuduga majikan akan dilaksanakan di Putrajaya di mana majikan sendiri perlu hadir bagi proses temuduga tersebut dan menandatangani aku janji pematuhan perundangan perburuhan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Majikan yang telah menerima tarikh temujanji untuk temuduga akan dihubungi oleh KSM dalam masa terdekat bagi penjadualan semula tarikh temuduga tersebut untuk mempercepatkan proses permohonan mereka,” katanya.

Menurutnya, langkah bagi membantu memenuhi keperluan sektor-sektor bukan pilihan warga tempatan dan berunsurkan 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) seperti sektor perkilangan, pembinaan dan juga perladangan.

“Saya juga ingin mengingatkan sekali lagi bahawa tiada permohonan secara manual akan diproses oleh KSM dan permohonan kuota pekerja asing hanya boleh diakses melalui https://fwcms.com.my/,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast