Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui rentung dalam kebakaran akibat letupan di Kampung Permatang Badak Perdana di sini awal pagi tadi.

KUANTAN – Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui rentung dalam kebakaran akibat letupan di Kampung Permatang Badak Perdana di sini awal pagi tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Dr Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, nahas berpunca daripada kesan letupan kuat.

Jelasnya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 3.15 pagi tadi menemukan mayat Adik Aisliski Mohd Saufi, 2, ditemukan di ruang tamu dan lima mangsa cedera.

Nahas melibatkan dua buah rumah semi-D itu berlaku melibatkan sembilan mangsa semuanya dan dua daripadanya ditemukan di bawah runtuhan bangunan.

“Mangsa melibatkan empat lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak termasuk bayi berusia dua bulan. Semasa operasi pemadaman dijalankan pihak bomba mendapati masih ada letupan kecil yang berlaku namun masih terkawal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani Dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh ambulan dan dibantu oleh jiran tertangga.

“Dua jentera bomba sebuah jentera tanki air digerakkan membantu mengawal api dalam masa kurang 30 minit.

“Seramai sembilan pegawai dan 26 anggota dari tiga buah balai terlibat dari Balai Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas terlibat dalam operasi berkenaan,” jelasnya.

Sebanyak tiga buah kenderaan rosak terusk di perkarangan rumah dalam insiden berkenaan.

Kes masih dalam siasatan lanjut dan terperinci termasuk anggaran kerugian kos kediaman yang musnah.

Untuk rekod, sebanyak tiga kebakaran berlaku sepanjang bulan puasa di daerah ini dan menasihati semua penghuni memastikan keselamatan kediaman meninggalkan rumah untuk bercuti Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun punca kebakaran masih dalam siasatan.

Terdahulu tular di media sosial berkenaan video kebakaran pada waktu sahur pagi tadi yang disyaki oleh bahan letupan yang berpunca daripada mercun.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ada serpihan mercun termasuk siling kapur berhampiran di lokasi kejadian dan pelbagai jenis bunga api turut ditemui di lokasi

Struktur bangunan kediaman tersebut juga didapati runtuh dan atap tercabut akibat letupan tersebut.

Difahamkan rumah yang terbakar merupakan rumah yang disewakan hampir dua tahun.

Sementara itu, jiran terdekat ditemui berkata beliau mendengar dua letupan.

Faridah Mamat, 56, merupakan saksi awal kejadian dan melihat nahas 50 meter dari rumahnya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak begitu cepat.

“Letupan kedua lebih kuat daripada letupan pertama dan rumah terus terbakar kemudian saya terus bantu hantar keluarga mangsa di rumah kedua ke hospital,” katanya.- MalaysiaGazette