Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak menyampaikan sumbangan kepada Awa Minhat pada Program CSR MG Prihatin di Kampung Ku Sayang Bukit Baru, Melaka. Foto AFFAN FAUZI. 27 APRIL 2022.

MELAKA – Kecekalan Awa Minhat berusia 79 tahun yang bersendirian membesarkan lima cicitnya sejak 18 tahun lalu turut mendapat perhatian Malaysia Gazette (MG) Prihatin.

Kunjungan sembilan kru portal MG diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraini Abd Razak itu bagi menyalurkan barangan asas seperti beras, gula, minyak, tepung selain sumbangan wang bagi meringankan beban kehidupan harian mereka yang kurang bernasib baik.

Awa  tidak menyangka terpilih untuk menerima bantuan itu dan berterima kasih atas keprihatinan portal berita MG terhadap golongan sepertinya terutamanya ketika menjelang Aidilfitri minggu depan.

Awa Minhat bersama cicitnya pada Program CSR MG Prihatin di Kampung Ku Sayang Bukit Baru, Melaka. Foto AFFAN FAUZI. 27 APRIL 2022.

“Terkejut juga bila mak cik dihubungi MG beritahu nak datang sampaikan bantuan sebab sebelum ini pun wartawan MG dan media lain sudah datang untuk buat berita di samping menghulurkan bantuan.

“Terima kasih dan semoga semua pihak yang membantu ini akan terus dipermudahkan melakukan usaha murni ini di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampungku Sayang, Bukit Baru di sini semalam.

MG Prihatin merupakan program tanggungjawab korporat sosial oleh portal MG.

Pada 9 April lalu, MG melaporkan kecekalan dipikul warga emas itu yang bersendirian memikul tanggungjawab sebagai ibu, ayah, nenek dan atuk kepada lima cicitnya sejak 18 tahun lalu.

Tugas membesarkan mereka yang kini sudah berusia tujuh hingga 18 tahun dipikul ‘wanita besi’ itu selepas cucunya yang juga ibu kanak-kanak itu bercerai dan bapanya pula sedang menjalani hukuman di Penjara Lipat Kajang, Jasin.

Sejak itu, Awa membesarkan mereka malah mereka juga memanggilnya dengan panggilan ‘mak’ walaupun tahu ibu kandung mereka sudah berkahwin lain dan mempunyai kehidupan dengan suami baharu.

Sementara itu, Sidang Kampungku Sayang, Mohd Zulfakar Dehadi turut berterima kasih dan memuji usaha murni program MG Prihatin yang memainkan peranan penting dalam membantu rakyat.

“Selama ini, pembaca mungkin sangka portal berita hanya sekadar menyampaikan berita tapi MG Prihatin membuktikan mereka juga ada peranan penting bersama kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam membantu rakyat.

“Kerjasama penting inilah dapat memudahkan lagi bantuan yang mana saya difahamkan keluarga ini akan dapat Bantuan Kanak-Kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM600 sebulan mulai bulan depan,” katanya.

Tambahnya, berita gembira itu bukan sahaja menggembirakan Awa, malah turut melegakan masyarakat kampung berkenaan yang turut terkesan dan merasai kepayahan yang dihadapinya selama ini.

MG masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan daripada individu-individu dan syarikat korporat yang berhasrat menyertai MG Prihatin.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MalaysiaGazette di talian 03-9054 6842. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sendirian 18 tahun sara lima cicit, cekalnya semangatmu moyang Awa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast